“Suatu Ketika,Sejarah Dahulu Kala…”

Followers

Friday, December 7, 2012

Agen rahsia Jepun Perang Dunia Kedua - Yutaka Tani


Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, populasi warga Jepun di Malaya tersangat ramai terutama di negeri-negeri pantai timur dan Singapura. Ramai antara mereka datang ke Malaya sebagai pedagang, peniaga, editor akhbar, diplomat dan tidak kurang juga terdapat sesetengah mereka bekerja sebagai pelacur-pelacur kelas atasan.
Pelancong-pelancong daripada Jepun direkodkan berbondong-bondong datang ke Asia Tenggara lama sebelum Perang Dunia Kedua tercetus. Pada masa itu, ia tidak langsung diragui oleh pihak penjajah seperti Belanda di Indonesia, Perancis di Indo-China, Amerika Syarikat di Filipina dan British di Malaya. Tugas intipan dijalankan oleh perisik mereka dengan cukup baik. Daripada sekecil-kecil maklumat sehingga ke maklumat yang paling sulit, semua dikumpulkan untuk memudahkan tugas tentera Imperialis Jepun kelak. Kebanyakan daripada mereka dilengkapkan dengan mesin Cipher(mesin kod rahsia) untuk berhubung bagi menghalang British memintas pesanan mereka.
Tatsuki Fuji
Beberapa nama seperti Tatsuki Fuji misalnya, telah melakukan tugasnya sebagai agen rahsia di Malaya dengan cukup licik. Mudahnya Jepun untuk menawan Malaya pada tahun 1941 adalah disebabkan oleh risikan agen Jepun ini.
Segala kekuatan British telah pun dikaji dan diselidik dengan sebaik-baiknya oleh beliau. Tatsuki Fuji sebenarnya adalah seorang editor di Singapore Herald. Dalam masa yang sama, Fuji telah direkrut untuk mengintip setiap kemudahan dan kekuatan tentera British di Singapura dan Malaya. Profesion beliau sebagai wartawan memudahkan tugas rahsia beliau untuk mengintip dan membongkarkan rahsia sulit British.
Agen Jepun yang paling berjasa
Namun, jasa Tatsuki Fuji tidak dapat mengalahkan jasa seorang agen Jepun yang pernah berada di Malaya lama sebelum Jepun melancarkan dasar imperialisme. Jepun perlu berterima kasih dengan agen yang digelar ‘Harimau’ ini. Beliau adalah Tani Yutaka.



Yutaka Tani ketika berumur belasan tahun.
Bersongkok dan bersamping
Tani Yutaka adalah agen Jepun yang pernah menetap di sebuah negeri di pantai timur iaitu Terengganu. Beliau berada di Terengganu lama sebelum perang dunia bermula. Malah, beliau dilahirkan di Hulu Terengganu pada tahun 1910.

Rumah Kedai keluarga Yutaka Tani di Hulu Terengganu.
Beliau bersama-sama ibubapanya mencari nafkah dengan membuka kedai runcit secara kecil-kecilan. Kedai runcit warisan keluarga Yutaka tersebut masih lagi terpelihara sehingga terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan setelah Malaysia memperoleh kemerdekaan. Bersama-sama bangsa cina, keluarga Tani Yutaka dianggap golongan minoriti di Terengganu. Bangsa Melayu masih lagi mendominasi dari segi populasi di sini. Namun, keluarga Tani Yutaka yang pandai berbahasa Melayu dengan loghat Terengganu dapat menyesuaikan diri dengan situasi sebergitu.

Segak bersongkok dan bersamping.

Tani Yutaka sendiri menggemari adab dan pemakaian orang Melayu. Beliau tidak malu untuk bersongkok dan bersamping sedangkan hakikatnya beliau berbangsa Jepun. Oleh sebab itu, teman-teman Tani Yutaka lebih ramai berbangsa Melayu berbanding bangsa-bangsa lain. Ia kemudian menjadi faktor penyebab mengapa Tani Yutaka berjuang bersama-sama bangsa Melayu untuk menumpaskan British di Malaya semasa era Perang Dunia Kedua kelak.

Agen Fujiwara Kikan
Tani Yutaka berkhidmat secara rahsia dengan sebuah agensi risikan daripada Jepun iaitu Fujiwara Kikan atau lebih dikenali dengan gelaran F Kikan. Beliau dikatakan mula dihubungi oleh F Kikan semasa usianya mencecah 19 tahun.
F Kikan ditubuhkan semasa permulaan Perang Dunia Kedua iaitu pada tahun 1941 di Thailand. Ia diketuai oleh Major Fujiwara Iwaichi iaitu ketua unit risikan Tentera Imperialis Jepun battalion ke-15.  F Kikan ditubuhkan untuk memujuk gerakan kemerdekaan di India, Indochina dan Malaya bagi bersekutu dengan Jepun. Di Malaya, F Kikan berjaya memujuk beberapa orang Sultan termasuk sultan Kedah untuk memihak kepada Jepun.

Major Fujiwara Iwaichi juga dikenali 'Lawrence of Arabia in Southeast Asia'.

F Kikan pernah mengarahkan unitnya untuk menyelamatkan kerabat diraja Sultan Kedah termasuklah Sultan Abdul Hamid dan Tunku Abdul Rahman daripada diapa-apakan oleh tentera Imperialis Jepun. F Kikan juga pernah menghubungi Ibrahim Yaakob bagi berkerjasama dengan Jepun menentang British di Malaya. Ibrahim Yaakob adalah pemimpin utama parti Kesatuan Melayu Muda atau lebih dikenali KMM. KMM adalah antara beberapa organisasi yang berkerjasama dengan Jepun untuk menumpaskan British bagi menjadikan Malaya sebuah negara yang merdeka. Ibrahim telah dilantik oleh Jepun untuk menjadi Leftenan Kolonel kepada pasukan militia anti-British,Giyuugan. KMM dan Giyuugan kemudian diharamkan British selepas kuasa penjajah ini kembali memerintah Malaya setelah Jepun menyerah kalah pada 1945. Ibrahim bertindak ke Jakarta bersama keluarganya dan menukar nama kepada Iskandar Kamel.
 Gerakan Gerila dan sebotaj
Bergitu juga dengan Tani Yutaka, beliau diarahkan agensi F Kikan bagi melancarkan sabotaj dan perang gerila terhadap tentera British dan sekutunya. Kebanyakan yang sering menjadi mangsa serang berani Tani Yutaka dan pasukan gerilanya adalah tentera upahan British iaitu tentera Gurkha.

Dendam terhadap bangsa Cina
Ada sebuah kisah di mana Tani Yutaka bergitu benci kepada bangsa Cina. Ia disebabkan sebuah peristiwa yang menimpa adik perempuan apabila beberapa orang berketurunan Cina yang dipercayai kongsi gelap telah merogol dan membunuh adik perempuannya ekoran tersebarnya kisah-kisah kebrutalan Jepun terhadap bangsa Cina di Tanah Besar.
Kemarahannya memuncak sehingga tujuan asalnya untuk menumpaskan British telah terarah juga kepada bangsa Cina di Malaya. Bersama-sama rakannya yang bersimpati dengan nasib yang menimpanya, Tutaka telah membalas dendam dengan membakar kedai milik orang cina dan tidak terkecuali juga milik orang-orang British. Nama Tani Yutaka mula ditakuti dan disegani oleh orang cina dan British. Gerakan memburunya telah dilakukan namun tidak berhasil.

Adik perempuan Yutaka Tani(paling kanan) dirogol dan dibunuh membangkitkan kemarahannya kepada kaum Cina.

Malaria meragut nyawa
Disebabkan terlalu terdedah dengan hutan belantara, Tani Yutaka telah dijangkiti demam Malaria yang kemudiannya menjadi penyebab kepada kematiannya. Beliau meninggal dunia pada usia yang masih bergitu muda iaitu dalam lingkungan 32 tahun. Beliau meninggal dunia di Singapura pada 1942. Namun, terdapat sumber mengatakan beliau meninggal dunia di Johor sebelum dibawa ke Singapura untuk dikebumikan di tanah perkuburan khas bagi imigran Jepun.


Persemadian terakhir Yutaka Tani a.k.a Harimau

Legasi
Kerajaan Jepun mengambil inisiatif untuk mengenang jasa beliau semasa penaklukan Jepun di Asia Tenggara dengan menerbitkan sebuah filem yang diberi judul Marai No Tora yang membawa maksud ‘Harimau Malaya’. Watak beliau telah dilakonkan oleh pelakon Jepun era 30-an, Koji Nakata.

Filem Marai No Tora diterbitkan pada 1943 mengisahkan pejuangan Yutaka Tani di Malaya.

Yang menariknya mengenai filem tersebut ialah budaya Melayu dipaparkan dengan cukup menebal seperti watak Yutaka Tani memakai songkok dan berbaju melayu serta menyanyikan lagu warisan bangsa Melayu, ‘Rasa Sayang’.

Koji Nakata melakonkan watak Yutaka Tani dalam filem Marai No Tora.
 Sumber: http://takusahrisau.wordpress.com

Saturday, June 2, 2012

Sejarah Awal Penubuhan Kor Risik Diraja





Setelah Loi Teck menghilangkan diri, Parti Komunis Malaya (PKM) mula menjadi lebih agresif dan ganas. Chin Peng mengambil alih teraju kepimpinan PKM pada Mei 1947. Jawatankuasa Pusat PKM melancarkan dasar ketenteraan dan merancang satu pemberontakan bersenjata bagi membentuk Republik Komunis Malaya. PKM menubuhkan unit gerila yang dikenali sebagai Malayan Races Liberation Army (MRLA) dan masuk ke dalam hutan untuk melancarkan keganasan di seluruh Tanah Melayu. Ladang getah, lombong bijih timah, kilang-kilang dan orang-orang Inggeris serta pihak yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Inggeris menjadi sasaran keganasan pengganas. Bagi menangani masalah tersebut, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Edward Gent mengisytiharkan Darurat di seluruh Tanah Melayu mulai Jun 1948. Setelah sebulan Darurat diisytiharkan, Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan perjuangan bersenjata dengan melakukan beberapa serang hendap ke atas Pasukan Keselamatan (PK). Melalui kegiatan ini, PKM berharap agar dapat membuktikan kepada rakyat bahawa mereka menguasai keadaan dan berada di dalam keadaan kuat, lantas mengharapkan sokongan penuh daripada rakyat terhadap perjuangan mereka. Anggapan dan harapan PKM ini ternyata meleset kerana di mana-mana sahaja, rakyat memperlihatkan sikap benci terhadap perjuangan PKM.
Dalam tahun 1953, keadaan darurat semakin memuncak. Pihak Inggeris mulai sedar tentang keperluan perisikan bagi membantu PK di dalam usaha mereka membanteras perjuangan bersenjata PKM. Serentak dengan ini, pada bulan Ogos 1953, seorang anak watan dari Kampung Enggor, Kuala Kangsar, Perak yang telah menjejakkan kaki ke dalam bidang ketenteraan pada 23 November 1952, telah diserapkan dan bertugas di ‘HQ 355 Field Security Section’ (FSS), ‘British Military Intelligence’ yang diketuai oleh Lt M E A Atkinson. Anak tempatan yang dimaksudkan ini ialah 8878 Pbt Hashim bin Haji Rauf, berkelulusan darjah 8 di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar, Perak. Sebaik sahaja tamat latihan rekrut di Port Dickson yang bermula pada 23 November 1952 dan tamat pada bulan Ogos 1953, beliau telah dipanggil bertugas di dalam organisasi perisikan tersebut.


Pemilihan anak tempatan untuk berkhidmat di dalam organisasi perisikan di peringkat awal dilakukan secara terperinci oleh pihak Inggeris. Hanya anggota yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris diambil bertugas dalam organisasi perisikan. Memandangkan Pbt Hashim memiliki kebolehan berkenaan dia telah diserap masuk ke dalam HQ 355 FSS. Sebagai permulaan, dia telah diberikan latihan sambil bekerja dalam bidang kajian (survey), perhubungan (liaison), tapisan keselamatan (security vetting) dan soal siasat (interrogation) selama setahun. Kebolehan dan kecekapan serta kesetiaan yang ditunjukkan oleh Pbt Hashim bin Haji Rauf semasa menjalankan tugas-tugas perisikan telah meyakinkan pihak Inggeris tentang kebolehan anak-anak tempatan di bidang perisikan dan seterusnya menggalakkan mereka merekrut lebih ramai lagi anak tempatan.

Pada awal tahun 1955, sekumpulan Pegawai Tidak Tauliah (PTT) dari Rejimen Askar Melayu, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan, Rejimen Persekutuan dan Jurutera Persekutuan telah dipanggil dan ditumpangkan ke ‘HQ 355 FSS’ untuk dilatih di dalam seksyen perisikan. Setelah menerima latihan lebih kurang enam bulan, ramai di antara mereka dihantar balik ke unit-unit asal oleh kerana tidak berkebolehan sebagai operator perisikan. Mereka yang telah berjaya adalah:

1. 5037 Kpl Majid bin Abd Rahman - bersara Sarjan pada tahun 1960 (Dari Rejimen Askar Melayu).
2. 300023 Kpl Ayub bin Dahalan - bersara Sarjan pada tahun 1962 (Dari Jurutera Persekutuan).

3. 6157 Kpl Hamid bin Mohamed - bersara Kolonel (Dari Rejimen Askar Melayu).
4. 201058 LKpl Dismas Fernandez - bersara PW I (Dari Rejimen Persekutuan).

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ‘HQ 355 FSS’ telah disusun semula dan dikenali sebagai ‘Federation Field Security Section’ (FFSS). Seksyen ini telah diletakkan di bawah pemerintahan Markas Tentera Persekutuan (HQ Malaya Command) yang bertempat di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Setahun kemudian, Markas Tentera Persekutuan telah berpindah ke Kementerian Pertahanan dan ‘FFSS’ telah diserapkan sebagai salah satu organisasi di dalam ‘Federation Military Police’ (FMP).


Pada tahun 1959, atas sebab-sebab perbezaan tugas di antara FMP dan FFSS, organisasi FFSS sekali lagi diubahsuai dan diletakkan di bawah ‘Malayan General Service Corps’ atau gelaran singkatnya MGSC-Int, walaupun demikian, kawalan gerakan ke atas organisasi ini diletakkan di bawah kawalan Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan (Operation, Plan and Intelligence Branch), Kementerian Pertahanan. Pada ketika itu, cawangan ini diketuai oleh seorang Pegawai Staf 1 berbangsa Inggeris berpangkat Leftenan Kolonel.

Rancangan pembesaran untuk FFSS mula dirancang sejak dari awal tahun 1959. Pada 6 Julai 1959, pihak Inggeris telah memanggil seramai 14 orang Junior Civil Liaison Officer (JCLO) yang pada ketika itu sedang bertugas dengan Cawangan Khas atau Special Branch (SB) Polis Persekutuan Tanah Melayu bagi melaksanakan kerja-kerja pengumpulan maklumat perisikan di medan. Kesemua anggota JCLO ini telah diberi pangkat Koperal dan dihantar ke Pusat Latihan Rekrut (PLR), Port Dickson untuk menjalani latihan ketenteraan. Selepas tamat latihan, mereka telah diserapkan ke dalam organisasi MGSC-Int. Kumpulan JCLO ini juga telah diberi latihan lanjutan di dalam bidang Keselamatan Medan (Field Security) dan Risik Tempur (Combat Intelligence).

Sempena pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, MGSC – Int telah diubah nama kepada ‘Military of Defence Intelligence Unit’. Serentak dengan perkembangan ini, Kementerian Pertahanan juga telah menyusun semula Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan yang pada masa itu diketuai oleh Lt Kol Bill Fargus. Sel Perisikan diketuai oleh Mej William Sheldon. Kekuatan anggota MGSG-Int pada masa itu ialah seramai 35 orang dan diketuai oleh Kapt J B R Moorthy (bersara Kapten). Pada bulan November 1963, jawatan Pegawai Staf 1 Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan telah diambilalih oleh pegawai tempatan. Pegawai yang pertama menjawat jawatan ini ialah Lt Kol Mahmud bin Sulaiman (bersara Mejar Jeneral). Di bawah pimpinan beliau, Cawangan Rancang dan Perisikan telah diberi nama baru, Jabatanarah Perisikan Bersama (JPB), yang dirasmikan pada 2 Mac 1965.

Lt Kol Mahmud bin Sulaiman telah bertukar ke jawatan yang lain pada 8 Jun 1965 dan tempat beliau telah diambilalih oleh Lt Kol Ronald Wee sehingga 3 Ogos 1965. Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, Lt Kol Jaafar Onn (bersara Leftenan Jeneral) telah menjawat jawatan ini sehingga 14 September 1967. Pegawai yang terakhir menjawat jawatan Pegawai Staf 1 Cawangan Rancang dan Perisikan ialah Lt Kol Osman bin Mohamad Zain (bersara Mejar Jeneral). Beliau telah mengambilalih dari Lt Kol Jaafar Onn dan menjawat jawatan tersebut sehingga 14 September 1968.

Sumber:

Sejarah Penubuhan Rejimen Renjer Diraja


LATAR BELAKANG

Rejimen Renjer Diraja adalah salah satu dari Kor Infantri Tentera Darat, ianya adalah Rejimen yang kedua besarnya dalam Tentera Darat. Rejimen ini adalah satu Rejimen yang unik di mana dianggotai berbagai kaum dan agama. Selain dari anggota-anggota berbangsa Melayu, Cina dan India, ramai dari anggotanya juga terdiri dari rakyat peribumi dari Sabah dan Sarawak serta orang asli. Anggota-anggota peribumi yang berkhidmat di dalam Rejimen ini di antaranya terdiri dari bangsa Iban, Bidayuh, Kadazan, Bajau, Kayan, Kelabit, Kenyah, Bisayah, Lundayah, Murut dan lain-lain. Kehadiran kaum-kaum peribumi ini telah membawa satu identiti yang tersendiri bagi Rejimen Renjer Diraja. Selain dari kaya dengan sejarah, ianya juga kaya dengan berbagai kebudayaan yang tidak terdapat dalam rejimen-rejimen lain. Rejimen ini juga terkenal dengan kecekapan mengesan dan menjejak musuh dan sikap keberanian anggota-anggotanya.

Di dalam Angkatan Tentera Malaysia, Rejimen Renjer Diraja merupakan satu rejimen yang muda. Namun demikian, ianya mempunyai pertalian sejarah yang begitu harum sejak tahun 1862. Rejimen Renjer Diraja tidak dapat dipisahkan dari ‘Sarawak Rangers’ yang telah wujud sejak tahun 1862 lagi hinggalah ianya dibubarkan pada 15 September 1963 apabila Malaysia ditubuhkan. Unit tersebut bukan sahaja telah berjasa di bumi Sarawak malahan telah mencatatkan nama Malaysia semasa darurat dari tahun 1948 hingga 1960. ‘Sarawak Rangers’ telah turut serta membanteras kegiatan penganas komunis di Malaysia. Antara kempen-kempen yang telah dijalankan oleh ‘Sarawak Rangers’ adalah:

* Kempen mengamankan Sarawak era Raja Brooke.- 1862 – 1942
* Perang Gerila Jepun bersama ‘Reconnaissance Service Department’ (RSD) di Sarawak. - 1942–1945
* Darurat Malaya. - 1948 – 1960
* Darurat Sarawak. - 1952 – 1953
* Pemberontakan Brunei. - 1962
* Konfrantasi. - 1962 - 1963


PEMBUBARAN SARAWAK RANGERS/PENUBUHAN ASKAR RENJER MALAYSIA

Dalam perjanjian penubuhan Malaysia, pihak British telah bersetuju untuk menubuhkan 2 buah batalion Askar Renjer Malaysia, melatih anggota-anggotanya di peringkat awal dan diikuti dengan penubuhan batalion ketiga, seterusnya penubuhan Askar Renjer Malaysia telah diumumkan di Parlimen British (House of Commons) oleh Secretary of State for Commonwealth Affairs pada 18 Julai 1963. Ekoran dari itu, ‘Sarawak Rangers’ telah dibubarkan pada 15 September 1963 di dalam satu perbarisan yang penuh bersejarah di Ulu Tiram, Johor. Pada tanggal 16 September 1963 Askar Renjer Malaysia dilahirkan, serentak dengan hari kelahiran Malaysia. Anggota-anggota ‘Sarawak Rangers’ yang dibubarkan diserapkan ke dalam Askar Renjer Malaysia sebagai nukleus pasukan baru. Rekrut bagi batalion Pertama Askar Renjer Malaysia datangnya dari Sarawak, manakala untuk Batalion Kedua Askar Renjer Malaysia datang dari Sabah. Selain dari anggota ‘Sarawak Rangers’ beberapa anggota lain dari Tentera British dan Rejimen Askar Melayu Diraja juga telah dipinjamkan.


PERKEMBANGAN REJIMEN

• Markas Rangers Group. Bagi menjayakan penubuhan awal Askar Renjer Malaysia, pihak British telah menubuhkan satu markas yang dikenali sebagai ‘RANGERS GROUP HEADQUARTERS’ di bawah pimpinan Colonel I.C. Wellsted. Markas ini telah bertanggungjawab menubuhkan Batalion Pertama, Kedua dan Ketiga Askar Renjer Malaysia. Bagaimanapun Markas ini dibubarkan apabila selesai tugasnya bagi menubuh dan melatih ketiga-tiga batalion tersebut.

• Perbarisan Penyerahan. Penyerahan Batalion Pertama dan Kedua Askar Renjer Malaysia kepada Kerajaan Malaysia telah dilakukan dalam satu upacara yang penuh bersejarah di Kem Sulva Lines, Ipoh, Perak pada 4 Oktober 1965. Dalam perbarisan itu Major General H.A. Lascelles telah mewakili Kerajaan British menyerahkan kedua-dua batalion tersebut kepada Mejar Jeneral Dato’ Abdul Hamid bin Bidin yang mewakili Kerajaan Malaysia. Walaubagaimanapun tarikh 16 September 1963 telah diambil secara rasmi sebagai tarikh penubuhan Batalion Pertama dan Kedua Rejimen Renjer Kuasa PATD 11/81.


• Perkembangan. Dari 16 September 1963, Rejimen Renjer terus berkembang. Pada hari ini ia sudah mempunyai 11 buah batalion (Batalion Kesebelas telah dibubarkan manakala batalion kesepuluh yang telah dibubarkan di tubuhkan kembali). Penubuhan batalion-batalion Keempat Rejimen Renjer dan seterusnya adalah dilaksanakan oleh Tentera Darat Malaysia. Identiti Rejimen Renjer yang merupakan sebuah rejimen infantri berbilang kaum terus dikekalkan.
Rekod penubuhan batalion-batalion dalam Rejimen Renjer seterusnya adalah seperti berikut:

* 1 Renjer - 16 September 1963 di Ulu Tiram, Johor.
* 2 Renjer - 16 September 1963 di Ulu Tiram, Johor.
* 3 Renjer - 1 Julai 1965 di Ipoh, Perak.
* 4 Renjer - 28 Mac 1966 di Ipoh, Perak.
* 5 Renjer - 16 Mei 1969 di Sg. Udang, Melaka.
* 6 Renjer - 1 Januari 1970 di Sg. Udang, Melaka.
* 7 Renjer - 10 Mei 1970 di Kluang, Johor.
* 8 Renjer - 1 Mac 1973 di Kem Terendak, Melaka.
* 9 Renjer - 1 Mac 1979 di Pulau Pinang.
* 10 Renjer - 1 April 1980 di Kuala Lumpur.
* 11 Renjer - 1 Januari 1981 di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.


KOLONEL YANG DIPERTUA RRD

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Negeri Perlis telah diperkenankan perlantikan baginda sebagai Kolonel Yang di-Pertua Rejimen Renjer Diraja yang pertama pada 11 November 1971. Baginda telah mangkat pada 16 April 2000 dan telah digantikan oleh anakanda baginda iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XII Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail mulai 19 September 2001.


JAWATANKUASA REJIMEN

Segala perkembangan dalam pentadbiran hal-hal rejimen dikendalikan oleh Jawatankuasa Rejimen. Urusetia Rejimen Renjer Diraja di Jabatanarah Infantri, Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan adalah merupakan badan eksekutif bagi Jawatankuasa tersebut. Urusetia Rejimen Renjer Diraja merupakan satu sel di Jabatanarah Infantri di bawah pengawasan Setiausaha, yang juga Pegawai Staf Satu Am. Sel ini telah diluluskan untuk diwujudkan pada pada tahun 1985. Pada hari ini Sel Urusetia Rejimen Renjer Diraja telah mempunyai dua pegawai dan tiga lain-lain pangkat.


COGANKATA

Cogankata Rejimen Renjer Diraja diambil dari cogankata Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang sebelumnya juga merupakan cogankata ‘Sarawak Rangers’ iaitu “AGI IDUP AGI NGELABAN” yang memberi erti “Selagi ada hayat selagi itu bersedia untuk berjuang dan berkorban”.


RUMAH REJIMEN

Sebagai rejimen yang kedua besarnya, ianya juga bermegah mempunyai Rumah Rejimen. Kem Syed Putra (Kem Sulva Lines) di Ipoh, Perak yang mempunyai talian sejarah yang mendalam dengan Rejimen Renjer Diraja telah dipilih sebagai Rumah Rejimen. Di situ terdapat:

• Rumah Kenyalang
• Wisma Perwira Rejimen
• Wisma Bintara Rejimen
• Muzium RRD


IDENTITI PAKAIAN

Warna Rejimen Renjer Diraja adalah ‘Rifle Green’ bagaimanapun warna hitam digunakan menyeluruh sebagai warna identiti Rejimen Renjer Diraja di mana warna ini telah digunakan dalam alat-alat pakaian seperti lencana pangkat, lencana bahu, lencana kolar, butang baju dan lain-lain. Bagi mengekalkan identiti Rejimen, Jawatankuasa Pakaian Angkatan Tentera telah meluluskan pemakaian ‘hackle’, lencana kolar dan butang baju berwarna hitam. Justeru itu Rejimen Renjer Diraja adalah merupakan satu-satunya Rejimen Tentera Darat yang telah diberi penghormatan untuk memakai ‘hackle’ hitam

Sumber:

Sejarah Penubuhan Grup Gerak Khas


GGK Isignia


Grup Gerak Khas adalah satu pasukan khas utama negara dalam naungan Angkatan Tentera Malaysia dan juga merupakan pasukan komando elit yang disegani ramai kerana kesanggupan mereka melakukan apa sahaja. Pasukan ini beroperasi di Sungai Udang di Melaka dan Mersing di Johor.

Sejarah

Penubuhan pasukan elit tentera darat ini bermula ketika konfrontasi yang melibatkan Persekutuan Malaysia-Indonesia pada tahun 1965. Sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul dari konfantasi tersebut, Menteri Pertahanan Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein, telah memberi arahan untuk mengadakan unit ujian. Menteri Pertahanan telah mengarahkan sukarelawan dan sejumlah sukarelawan dari tentera darat dan laut untuk mengambil bahagian. Pada 25 Februari 1965, satu latihan asas komando diperkenal dan dikendalikan oleh Regimen ke-40 Komando Marin DiRaja British (40th British Royal Marines Commando) di Kem Majidee, Johor Bahru, Johor.
Daripada 300 sukarelawan yang mengambil bahagian, hanya 15 orang sahaja yang terpilih untuk menjalani latihan asas Komando selama 6 minggu. Pada akhir latihan, hanya 4 Pegawai dan 9 anggota dari lain-lain pangkat berjaya dalam latihan ini dan juga merupakan trup nukleus yang pertama. Mereka adalah :
1.Leftenan Kolonel Shahrul Nizam Bin Ismail (Jeneral Bersara)
2.Mejar Abu Hassan bin Abdullah (Kolonel Bersara)
3.Leftenan Mohd Ramli bin Ismail (Mejar Jeneral Bersara)
4.Leftenan Dua Ghazali bin Ibrahim (Mejar Jeneral Bersara)
5.Leftenan Dua Hussin bin Awang Senik (Kolonel Bersara)
6.6842 Sarjan Ariffin bin Mohamad
7.300152 Sarjan Anuar bin Talib
8.4861 Sarjan Zakaria bin Adas
9.201128 Sarjan Yahya bin Darus
10.202072 Koperal Silva Dorai
11.203712 Koperal Moo Kee Fah
12.13852 Lans Koperal Johari bin Haji Morhd Siraj
13.10622 Lans Koperal Sabri bin Ahmad

Kejayaan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga berkebolehan untuk mengambil apa jua peranan dan tugas yang diberikan. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada jurulatih khas dari Rejimen ke-40 Royal Marines Commando British bawah pimpinan Mejar Bacons dan Kapten Seager, Grup Gerak Khas mula melebarkan sayap pada tahun yang sama, mereka berjaya mengatasi 6 latihan asas komando.
Mejar Abu Hassan bin Abdullah merupakan Pegawai Komand Pertama bagi Grup Grak Khas (GGK), dan Sarjan Ariffin menjadi Mejar Skuadron yang pertama. Pada akhir 1965, kekuatan GGK adalah sebanyak 70%. Bagi memastikan pembangunan yang seiring dengan pasukan elit, pegawai dari pelbagai pangkat dihantar keluar negara untuk menjalani kursus-kursus khas seperti penyusupan lintas udara, penerjunan bebas, operasi-operasi khas, renjer, teknik amfibia dan sebagainya.

GGK juga mengadakan latihan bersama dengan pasukan elit dari negara lain seperti KOPASSUS TNI-AD dari Indonesia, Special Air Service (Australia, Britain), Special Service Group (Pakistan), US Delta Force dan Green Beret (Amerika Syarikat). KOPASSUS yang merupakan pasukan elit Indonesia yang paling kerap mengadakan latihan silang bersama dengan GGK ini kerana bagi menjaga nama baik kedua-dua negara serumpun selepas konfrontasi tersebut, pasukan ini mengadakan hubungan persahabatan dengan unit elit ini. GGK telah mengadakan operasi di Timur Malaysia dan semasa insiden 13 Mei 1969. Selepas Konfrontasi 1967, terdapat perbincangan sama ada untuk menyambung atau mengekalkan unit khas ini. Ini kerana terdapat implikasi kewangan dari unit GGK di mana ia bersamaan dengan keperluan dua Batalion Infantri. Oleh kerana isu tersebut, GGK telah dipindahkan ke Kem Segenting, Port Dickson pada 1968.
Insiden 13 Mei telah membuktikan bahawa GGK merupakan aset yang berharga buat kerajaan dan patut dikekalkan dan dikembangkan kepada regimen. Apabila elemen dan unit baru diserap ke dalam GGK, mereka telah dipindahkan ke Kem Sungai Udang, Melaka dan pada 1 Ogos 1970, Regimen Gerak Khas pertama telah dibentuk. Walaupun GGK telah mendapat kredit pada 1971 tetapi keanggotaannya masih menjadi milik kor masing-masing. Situasi ini menyebabkan masalah bagi merancang kerjaya anggotanya. Untuk mengatasi masalah ini, sukarelawan yang di buang dari senarai untuk menyertai Regimen Khas. Pada 1973, kor telah ditugaskan kepada 6 pegawai.

Perkembangan

Kem Sungai Udang telah diberi gelaran sebagai "Markas Komando". Ia telah berjaya menarik minat ramai sukarelawan dari regimen lain. Leftenan Kolonel Borhan bin Ahmad merupakan pegawai yang bertanggung jawab mencari jalan untuk mengembangkan GGK. Banyak aktiviti termasuk sukan dan aktiviti ketenteraan lain telah di susun untuk memastikan GGK terlibat. Program bersama dipimpin oleh negara lain seperti British, New Zealand, Australia dan juga Amerika Syarikat untuk mengembangkan pengetahuan dan mendapat pengalaman baru dalam aspek khusus dalam operasi khas.
Dalam rancangan malaysia Ke-3 dan penambahan pasukan bersenjata, Pusat Latihan Perang Khas (PULPAK) telah dibina pada 1 Ogos 1976. Fungsi utama adalah untuk memastikan keperluan latihan untuk pasukan khas dipenuhi. Selepas itu, Regimen kedua GGK telah dibentuk. Kesemua tiga unit menjadikan Kem Sungai Udang, Melaka sebagai tapak. Pada 1979, Pusat Latihan telah siap sepenuhnya dan Kolonel Borhan bin Ahmad menjadi Komandan bagi pusat latihan khas ini.

Persenjataan

Grup Gerak Khas dibekalkan dengan kelengkapan dan teknologi bagi semua unit elit Malaysia. Kelengkapan GGK bukan sahaja terdiri daripada sistem persenjataan biasa, tetapi turut dibekalkan dengan beberapa model baru.

Insignia

Motto Rejimen
Cepat Dan Cergas
Lambang Rejimen
Digelar sebagai "Harimau Berjuang", wajah harimau mengaum dan pisau komando. Warna hijau melambangkan status Rejimen Komando dan melambangkan warna hijau juga sebagai warna suci agama Islam. Warna Biru melambangkan hubungan erat antara Rejimen Gerak Khas dengan 40th Royal Marines Commando British. Harimau melambangkan keberanian, dan ketangkasan. Pisau Komando merupakan pertanda status anggota resimen – hanya anggota komando sahaja yang layak menyandang pisau komando.
Beret Hijau
Anggota Rejimen Gerak Khas menggunakan Beret Hijau, merupakan simbol am diantara komuniti pasukan komando di seluruh dunia. Lambang "harimau berjuang" diletakkan pada beret hijau.
Lanyard Biru
Anggota Rejimen Gerak Khas juga menggunakan lanyard berwarna biru, sebagai tanda penghargaan dari 40th Royal Marines Commando British. Anggota dari 40th Royal Marines dan Gerak Khas menggunakan lanyard biru tradisional.

Tanggungjawab

Grup Gerak Khas bertanggungjawab menyediakan kemudahan dan kelengkapan menjalankan gerakan khas termasuk gerakan payung terjun dan gerakan perairan. Gerakan ini boleh dilaksanakan secara bersendirian, bersama atau bekerjasama dengan pasukan tetap yang lain di dalam kawasan musuh.

Rejimen Gerak Khas
Mengadakan Skuadron mencari, melapor, mengharu dan menghancur musuh dengan penyusupan jarak jauh dan di samping itu bekerja rapat dengan pasukan gerila. Melaksanakan operasi ofensif secara bebas yang memerlukan kepakaran melalui laut, darat dan udara di dalam kawasan yanng dikuasai oleh musuh dan juga mendapatkan maklumat.
DATANGMU TIDAK DIUNDANG, JIKA RAGU SILA PULANG
Kursus asas komando dibahagikan kepada 4 peringkat utama iaitu:
1)LATIHAN PEMANAS BADAN 2)IKHTIAR HIDUP 3)LAUT 4)UJIAN AKHIR
LATIHAN PEMANAS BADAN Ujian pemanas badan atau lebih dikenali sebagai peringkat kem berlangsung di Kem Sg Udang selama 5 minggu. Latihan di sini disebut pemanas badan untuk pelatih bersedia menghadapi latihan di peringkat seterusnya yang mungkin lebih mencabar. Pelatih akan diperkenalkan dengan kehidupan seorang komando dan dididik agar tidak kenal erti belas kasihan, terutamanya kepada musuh. Beberapa kemahiran rahsia juga diajar di sini. Antara latihannya seperti abseiling dari menara dan helikopter, latihan menembak, perubatan medan, penggunaan pelbagai senjata, bahan letupan, semboyan dan sebagainya. Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi sepanjang kursus selama 3 bulan ini, pelatih hanya boleh tidur selama lebih kurang 3 jam sahaja. Pelatih juga tidak dibenarkan mandi. Makanan yang diberikan tidak sempurna, tetapi berkhasiat. Sementara latihan fizikal pula ialah:
1)Larian jarak jauh (76km) yang perlu dilengkapkan dalam 2 sesi iaitu siang dan malam, tidak melebihi 12jam.(Jumlah larian 152km) 2)Jalan lasak/laju 25km 3)Pandu arah pelbagai bentuk muka bumi(138km), juga dalam 2 sesi dan dalam masa yang ditetapkan.(Jumlah perjalanan 276km)
IKHTIAR HIDUP Latihan ikhtiar hidup dijalankan selama 3 minggu melibatkan kawasan hutan dan paya. Peringkat ini adalah yang paling sukar dalam kebanyakan kursus komando. Ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang amat tinggi. Tidak disediakan makanan. Pelatih diajar dan seterusnya berusaha untuk mencari makanan sendiri di kawasan sekeliling untuk terus hidup. Khemah juga tidak disertakan bersama. Pelatih hanya tidur di kawasan-kawasan selamat seperti di atas pokok. Latihan teknik ronda dalam kumpulan kecil dan segala ilmu peperangan hutan didedahkan. Aktiviti pandu arah dalam hutan sejauh 90km juga diwajibkan. Sebelum latihan di paya, sekali lagi pelatih akan mengharungi perjalanan pelbagai bentuk muka bumi sejauh 160km (tidak boleh lebih dari 3 hari) Antara syarat jalan jauh itu, pelatih tidak boleh berhenti berjalan kecuali buang air dan makan. Di paya, pelatih harus menanggalkan pakaian kecuali seluar dalam, seluruh tubuh mesti disapu dengan lumpur bagi tujuan mengelak dari dihidu atau digigit oleh hidupan liar di paya. Teknik bekukan kedudukan,operasi dan asas pertempuran di kawasan paya diajarkan. Tidak ketinggalan, ikhtiar hidup. Pelatih diberi beberapa batang mancis, parang dan seorang satu tempurung kelapa. Para pelatih juga perlu membuat tombak runcing sebagai alat tambahan untuk berburu.
LAUT Pelatih akan dibawa kembali ke Kem Sg Udang untuk memulakan peringkat laut selama 2 minggu. Kemahiran paling asas yang diajarkan di sini ialah berenang di dasar laut, drown proofing dan teknik menahan nafas. Lain-lain seperti ikhtiar hidup laut, isyarat kod morse dan pertempuran di dasar dan permukaan. Aktiviti berkayak dengan kanu sejauh 20km dan pandu arah laut hanya 10km. Peringkat laut merupakan ujian paling ringan dalam kursus asas komando.
UJIAN AKHIR Setelah kesemua peringkat diharungi, maka tamatlah sesi pembelajarannya. Tiba masanya untuk para pelatih menghadapi ‘ujian’ untuk dinilai apakah pelatih dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sebelumnya dengan sebaik mungkin. Terlebih dahulu pelatih akan diberi taklimat secukupnya untuk persediaan ujian akhir ini. Ia akan lebih bersifat realistik. Ia dipecahkan kepada 3 peringkat utama:
Peringkat perjalanan/Air gelap Maksud perjalanan di sini ialah perjalanan menuju ke kawasan operasi. Biasanya ia mengikut jalan sungai. Pelatih akan bertolak pada waktu malam dengan menggunakan kanu. Jarak perjalanan ini tidak tetap, mengikut berapa panjangnya anak sungai.
Peringkat operasi Tiba dikawasan operasi yg telah dikenal pasti, pelatih akan membuat satu serangan ke atas kubu musuh tersebut. Serangan itu sama seperti demonstrasi serangan pantai semasa hari penganugerahan beret. Cuma kali ini skalanya lebih besar dan kompleks.
Peringkat pelarian Setelah serangan berjaya dilaksanakan dan objektif tercapai, pelatih dipaksa sekeras-kerasnya berundur dari kawasan itu tanpa meninggalkan sebarang kesan. Mereka perlu melarikan diri dan mengelak dari dikesan oleh jurulatih yang bertindak sebagai musuh (bersenjata). Proses pembolosan ini dipanggil Escape & Evasion (E&E). Jarak pelarian biasanya mencecah 200km untuk pelatih sampai ke checkpoint yang ditetapkan. Sekiranya pelatih dapat dikesan dan tertangkap, jurulatih yang bertindak sebagai musuh tadi akan mendera dan menekan mental pelatih supaya membocorkan maklumat rakan-rakan pelatih lain yang berjaya mengelakkan diri. Sekiranya pelatih memberitahu apa-apa rahsia, maka beliau akan gagal keseluruhan kursus dan tidak layak memakai beret hijau. Ini disebabkan pelatih tersebut tidak tahan akan seksaan yang dikenakan. Oleh itu, sekiranya seksaan dalam latihan pun tak boleh tahan bagaimana pula nak menghadapi seksaan oleh musuh sebenar yang jauh lebih perit, bahkan sampai meragut nyawa. Terdapat pelbagai bentuk penderaan/penyeksaan seperti dipukul, dipaksa memakan najis, digantung dengan keadaan kepala di bawah & lain-lain. Sebagai tambahan, terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi jurulatih dalam latihan penderaan ini. Antaranya ialah tidak boleh menyeksa rekrut sehingga menyebabkan kecederaan dalaman atau kematian.
Pelatih yang berjaya dan disahkan layak bergelar komando, mereka diberi kerehatan di sebuah kem tentera, iaitu di mana tempat berkhirnya proses E&E yang telah diterangkan sebelumnya. Juga memberi peluang kepada rekrut-rekrut baru komando tadi berhubung dengan keluarga dan membuat persediaan semasa hari penganugerahan.

Operasi yang diketahui


Insurgensi 1966-1990
Pada insurgensi mulai tahun 1966 hingga 1990, Rejiment Gerak Khas terlibat dalam beberapa siri operasi menentang pengganas komunis diseluruh kawasan hutan Malaysia. Ramai diantara pengganas komunis yang berjaya dibunuh, dicederakan dan ditawan serta sejumlah besar senjata api, bahan letupan dan kelengkapan dirampas.

Kepulauan Spratley
Memandangkan unit Rejimen Gerak Khas adalah aset berharga kerajaan, perkara yang perlu difahami oleh pasukan elit tentera darat dan marin ATM adalah menjaga kawasan yang berhampiran dengan Kepulauan Spratley. Grup Gerak Khas dan PASKAL Tentera Laut Diraja Malaysia dihantar bertugas menjaga pulau-pulau kecil yang berhampiran dengan perairan Malaysia. Dua detasemen elit ini telah ditempatkan di Pulau Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani dan Terumbu Layang-Layang serta Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.

Pertempuran di Mogadishu, Somalia (1993)
Grup Gerak Khas terlibat dalam operasi berprofil tinggi termasuklah operasi bersepadu dengan Rejimen Askar Melayu Diraja dan tentera Pakistan dalam tugas menyelamat pasukan Renjer dan pasukan elit Delta Force Amerika Syarikat yang terperangkap didalam pertempuran dengan tentera militan Jeneral Farah Aidid di Pasar Bakhara, Mogadishu, Somalia yang mengorbankan seorang krew kereta perisai MALBATT RAMD iaitu Allahyarham Koperal Aznan Awang dan 7 lagi cedera. GGK turut kehilangan dua anggotanya semasa pertempuran di bulatan K4 dimana unit ini terlibat dalam operasi yang diterajui oleh Amerika dalam tugas menangkap beberapa orang kanan Aidid.

Sukan Kommonwel ke-16
Grup Gerak Khas turut digandingkan bersama pasukan polis anti-pengganas Pasukan Gerakan Khas PDRM dalam tugas keselamatan khas dan bersedia untuk tugas operasi menyelamat tebusan dan mematikan bahan letupan (sekiranya berlaku ancaman dan kekacauan dari pihak-pihak tertentu) sempena Sukan Kommonwel ke-16 di Kuala Lumpur pada tahun 1998.

Bosnia Herzegovina
Unit-unit Grup Gerak Khas turut dihantar sebagai unit pengaman di Bosnia, yang mana satu dan hanya unit komando daripada Asia Timur-Selatan telah ditugaskan di Bosnia.

Timor Leste 2006
Grup Gerak Khas juga dihantar bersama dengan truper elit dari 10 Briged Para dan pasukan elit PDRM, Pasukan Gerakan Khas dalam operasi pengaman di Timor Leste, yang diketuai oleh Australia yang dikenali sebagai Operasi Astute.

Insiden Genting Sempah
Pada Julai, 2007, Rejimen ke-22 Grup Gerak Khas bersama dengan anggota 10 Briged Para dari Kem Terendak, PASKAU TUDM dan Pasukan Gerakan Khas PDRM dengan disokong oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, Pasukan Gerakan Am PDRM, Renjer Perhutanan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) serta penduduk tempatan dalam usaha mencari dan menyelamat 6 krew helikopter Sikorsky S61 Nuri yang terhempas di Genting Sempah pada 13 Julai lalu. Walaubagaimanapun, keenam-enam wira negara tersebut telah terkorban sebelum pesawat malang itu ditemui oleh unit-unit penyelamat tersebut.

MALCON - UNIFIL
Unit ini juga terlibat dalam misi pengaman MALCON - UNIFIL di Lubnan bersama dengan tiga lagi elemen pasukan elit ATM (terdiri daripada 10 Briged Para, PASKAL dan PASKAU) dan ditempatkan di dalam Kontinjen India dalam menjaga keamanan di negara yang mengalami kemusnahan akibat serangan oleh rejim Israel. Keempat-empat pasukan elit ini bertindak sebagai Pasukan Tindakan Pantas dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman dikawasan pentadbiran ATM disana.

Sumber:

Thursday, April 26, 2012

Tentera Malaysia di Misi Pengaman PBB[ MALCON EAST VI]




Teras Persiapan dan Latihan

Keperluan persiapan MALCON EAST 6 untuk beroperasi di Lebanon adalah seperti berikut :

a. MALCON EAST 6 dilatih dan dilengkapkan untuk Operasi Pengaman PB di Lebanon.

b. Mempunyai daya mobiliti selaras dengan penugasan di kawasan misi.

c. Berupaya melaksanakan pengawasan dan tugas QRF.

d. Berupaya menguruskan keperluan logistik sendiri.

e. Bersedia untuk berada di kawasan misi untuk sekurang-kurangnya 9 bulan.

Lubnan

Geografi

Lubnan merupakan sebuah negara yang terletak di timur laut Mediterranean, berkeluasan seluas 10,452 kilometer persegi. Ianya terbahagi kepada enam wilayah iaitu Beirut, Bekaa, Liban-Nord, Liban-Sud, Mont Liban dan Nabatiye. Lubnan berjiran dengan Syria di utara dan timur manakala Israel adalah di bahagian selatan.

Cuaca di Lubnan beriklim Mediterranean. Lubnan mempunyai empat musim iaitu Musim Bunga (Apr-Mei), Musim Panas (Jun-Sep), Musim Luruh (Okt-Nov) dan Musim Sejuk (Dis-Mac). Suhu purata di Beirut sewaktu musim panas adalah 27 C dan musim sejuk serendah 14 C. (Suhu di Kaokaba boleh mencecah tahap beku)

Jumlah penduduk di Lubnan adalah lebih kurang seramai 4 juta penduduk. Terdapat sejumlah 400,000 pelarian Palestin yang tinggal di Lubnan. Majoriti penduduk adalah berketurunan Arab (95%) dan selebihnya adalah kumpulan minoriti seperti Armenia, Assyrians, Kurd dan Chaldean.


Bahasa rasmi adalah bahasa Arab namun bahasa Perancis dan Inggeris dipertuturkan oleh majoriti rakyat Lubnan.

Majoriti penduduk Lubnan beragama Islam namun ianya terbahagi pula kepada dua mazhab utama iaitu berfahaman Syiah dan Sunni. Selain daripadanya beragama Kristian. Terdapat 15 buah kumpulan agama di Lubnan.

Pada tahun 1975, perang saudara Lubnan telah tercetus di antara penduduk Kristian, pengikut Sunah, Syiah, Druze dan juga pihak Palestin. Perang ini telah ditamatkan pada tahun 1990 melalui Perjanjian Taif. Kira-kira 150,000 orang telah terkorban di dalam peperangan ini.

Lubnan mengamalkan sistem kerajaan republik berparlimen di mana ianya diketuai oleh seorang Presiden dan dibantu oleh Perdana Menteri. Berdasarkan Perlembagaan Lubnan, Presiden Lubnan mestilah seorang yang beragam Kristian Maronite, Perdana Menteri adalah seorang pengikut Muslim-Sunni dan Speaker Parlimen dilantik daripada pengikut Muslim-Syiah.

Pada 14 Februari 2005, bekas Perdana Menteri, Rafik Hariri telah dibunuh akibat ledakan bom kereta di Beirut. Pembunuhan ini disyaki diarahkan oleh pemimpin Syria. (Pihak Syria telah mencampur tangan dalam sistem politik Lubnan sejak Perang Suadara 1975-1990.) Pembunuhan ini telah mangakibatkan krisis politik yang membabitkan pihak pro-Syria dan pihak anti-Syria. Pihak pro-Syria termasuklah Presiden Emile Lahoud, Speaker Nabih Berri, Jeneral Michel Aoun dan kumpulan Hezbollah. Pihak anti-Syria termasuklah Perdana Menteri Fouad Siniora, Amine Gemayel, Samir Geagea dan anak Hariri, Saad Hariri.

Perang antara Hezbollah dan Israel pada Julai 2006 dan pembunuhan pemimpin Kristian Maronite Pierre Amine Gemayel pada November 2006 telah memburukkan lagi krisis tersebut. Gerakan pro-Syria telah mengadakan pelbagai protes dan demonstrasi sejak Disember 2006 meminta kerajaan Siniora meletak jawatan.

Perang Lubnan

Perang Lubnan 1982

Perang Lubnan 1982 merupakan sebuah peperangan di antara Israel dan Lubnan yang terjadi pada 6 Jun 1982 apabila Pasukan Pertahanan Israel menyerang Lubnan Selatan. Kerajaan Israel melancarkan serangan ini sebagai tindak balas dari usaha pembunuhan duta besar Israel ke United Kingdom, Shlomo Argov oleh Pertubuhan Abu Nidal. Selepas menyerang PLO, selain angkatan tentera Syria dan Muslim Lubnan, Israel turut menduduki selatan Lubnan.

Latar belakang

Setelah perang antara Arab dan Israel pada tahun 1948, Lubnan menjadi tempat tinggal untuk lebih dari 110,000 penduduk Palestin yang lari dari rumah mereka di Israel kini. Pada tahun1970 dan 1971, PLO ikut serta dalam usaha untuk menjatuhkan kekuasaan raja Jordan, di mana membuat sejumlah besar dari pejuang dan penduduk Palestin berpindah ke Lubnan. Pada tahun 1975, terdapat lebih dari 300,000 pengungsi, membuat PLO menjadi pasukan kuat dan memainkan peranan penting dalam Perang Saudara Lubnan. Kekacauan yang berlanjutan antara Israel dan PLO dari tahun 1968, membuat terjadinya Operasi Litani.

Akibat

Perang Lubnan 1982 mempunyai beberapa akibat jangka panjang: Dari sudut pandangan Israel, serangan ini merupakan kejayaan terhad, mengusir PLO dari Lubnan Selatan dan memusnahkan infrastrukturnya, selain sebagai pencegah kepada pertubuhan militan Arab anti-Israel lain. Tentera Syria menjadi lemah, terutamanya bahagian udara.

Hakisan lanjut dalam sepersetujuan tidak mengkritik tentera dalam pandangan awam Israel dan kekecewaan dengan pimpinannya, proses yang dianggap berakar selepas Perang Yom Kippur.

Serangan ini yang turut mensasarkan orang Lubnan Syiah, menyebabkan penukaran pihak Pergerakan Amal, yang sebelum ini berseteru dengan PLO.

Serangan ini sering dianggap sebagai mangkin utama pewujudan pertubuhan Hizbullah, yang sejak 1991 merupakan satu-satunya kumpulan bersenjata di Lubnan yang tidak disokong Israel (sebaliknya disokong Iran dan Syria), dan sejak 2000 telah menggantikan sepenuhnya PLO di Lubnan Selatan.

Majlis Pembangunan dan Pembinaan Semula Lubnan menganggarkan kos kerosakan akibat serangan Israel berjumlah 7,622,774,000 paun Lubnan, bersamaan dengan AS$2 billon pada masa itu.

Pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden pernah menyatakan pada 2004 bahawa dia mendapat ilham untuk menyerang bangunan di Amerika Syarikat daripada perang ini, di mana menara dan bangunan di Beirut dimusnahkan ketika pengepungan bandar itu.

Pengunduran IDF kembali ke Lubnan Selatan pada musim panas 1983, membawa kepada salah satu fasa paling berdarah dalam perang ini, apabila Militia Kristian (tentera Lubnan) tinggal bersendirian mempertahankan kawasan “pergunungan” yang terdiri dari daerah Aley dan Chouf, menentang campuran PSP Druze, PLO Palestin, tentera Syria, Komunis Lubnan, dan Parti Nasionalis Sosial Syria. Ini menimbulkan bencana bagi penduduk awam kedua belah pihak, terutamanya pihak Kristian (lebih 5,000 terbunuh dari kedua pihak). Perang ini berakhir selepas angkatan tentera dan penduduk awam Kristian mundur ke bandar Deir el Kamar di mana mereka dikepung selama 3 bulan sebelum semua pertempuran dihentikan dan mereka diangkut ke Beirut Timur.

Perlaksanaan

MALCON EAST 6 akan ditubuhkan dengan pengumpulan anggota mengikut perkhidmatan masing-masing. Keanggotaan kontijen terdiri daripada tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu TD, TL dan TU. Penubuhan dan penugasan MALCON EAST 6 akan dilaksanakan dalam lima tahap iaitu Persiapan dan latihan mengikut perkidmatan, Latihan Intergrasi Pasukan (FIT), Pergerakan ke kawasan misi, Perlaksanaan tugas di kawasan misi dan Pergerakan balik ke tanahair dan pembubaran.

Pendahuluan

Pasukan Tentera Sementara PBB di Lubnan

Pasukan Tentera Sementara PBB di Lubnan (United Nations Interim Force in Lebanon, atau UNIFIL) merupakan satu misi pasukan pengaman yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan penerimaan resolusi-resolusi 425 dan 426 Majlis Keselamatan PBB pada 19 Mac 1978, bagi memastikan pengunduran Israel daripada Lubnan, memulihkan semula keselamatan dan keamanan antarabangsa, dan membantu kerajaan Lubnan memulihkan kuasanya dengan berkesan di negara itu. Pasukan pertama UNIFIL telah diaturgerak ke Lubnan pada 23 Mac 1978; pasukan-pasukan ini telah ditugaskan semula daripada operasi-operasi menjaga keamanan PBB yang lain di kawasan ini (contohnya Pasukan Kecemasan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Pasukan Pemerhati Zon Bebas Pertubuhan Bangsa Bersatu).


Latar belakang

Sebelum Perang Lubnan pada 2 Januari 1982, di mana orang anggota tentera Ghana yang berkawal di kedudukan UNIFIL telah diserang oleh orang yang tidak dikenali. Seorang anggota tentera Ghana telah ditembak dan kemudiannya meninggal dunia. Semasa Perang Lubnan, kedudukan-kedudukan PBB telah diambil alih oleh pasukan-pasukan de facto di bawah Saad Haddad. Pasukan-pasukan ini merupakan pasukan tempatan Lubnan yang disokong oleh IDF. Semasa pendudukan ini, fungsi utama UNIFIL adalah bagi menyediakan bantuan kemanusian. Bermula pada tahun 1985, Israel telah mengambil balik kedudukan-kedudukan tetap di Lubnan, walau bagaimanapun proses ini diselang seli dengan serangan dan pengeboman singkat, sepertimana dalam Operasi Ketelusan pada tahun 1993 dan Operasi Anggur Amarah pada tahun 1996. Pada tahun 1999, Israel berundur, yang mana berakhir pada tahun 2000 dan membolehkan UNIFIL menyambung kembali tugas-tugas ketenteraannya. Kerajaan Lubnan mendakwa kawasan ladang-ladang Shebaa adalah termasuk di dalam wilayah Lubnan, walau bagimanapun PBB menganggap Garisan Biru merupakan wilayah Syria di bawah pendudukan tentera Israel. Mereka berhujah bahawa pertikaian ini memberi sekatan sah berterusan kepada kumpulan penentang bersenjata Israel di Lubnan (bagaimanapun PBB secara rasminya mengesahkan Israel telah berundur sepenuhnya daripada semua kawasanyang diduduki selepas tahun 1973).

Sumber maklumat dan gambar:

http://bluebeltcombat.wordpress.com/


Tuesday, April 24, 2012

Peristiwa Serang Hendap Ulu Lenggong


Berpandukan catatan sejarah yang sedia ada,Batalion ini telah diuji ketabahan dan semangat anggotanya iaitu semasa menjalankan tugas di Klian Intan dalam Operasi 803 Bravo.Dalam operasi ini kejadian jerangkap samar pertama telah menimpa 30515 Lkpl. Suparman bin Taib pada 18 Mac 1981.Akibat daripada kejadian tersebut, Lkpl Suparman telah dipotong kakinya dari bahagian buku lali hingga ke bawah.

Kejadian ini boleh dianggap sebagai satu petanda Peristiwa Serang Hendap Ulu Lenggong.Peristiwa Serang Hendap Ulu Lenggong .Peristiwa Serang Hendap Ulu Lenggong berlaku ketika batalion melakukan Operasi Sedar Gubir buat kali kedua kalinya.Kejadian ini berlaku pada 29 Oktober 1981 pada jam lebih kurang 10 pagi apabila 9 orang daripada Anggota Kompeni Bravo yang berpengkalan di Markas Tek Ulu Lenggong bergerak keluar untuk mengambil makanan.

Sewaktu dalam perjalanan, kenderaan Volvo 2 Ton Mortar yang sedang membawa anggota tersebut telah diserang hendap oleh pengganas komunis yang beranggarkan kekuatan seramai 25 orang.Dalam kejadian tersebut didapati pengganas komunis telah menggunakan M79 untuk memusnahkan enjin kenderaan untuk diberhentikan secara serta-merta.

Serang hendap ini telah mengorbankan 7 orang pewira 22 RAMD dan mencederakan 2 annggota.Selain daripada itu,sebanyak 9 laras M 16,45 kelopak dan 1050 perluru 5.56 mm telah dirampas oleh pengganas.

Sumber:

P/s: Peristiwa ini juga telah dikisahkan dalam novel SERANG HENDAP Ulu Lenggong hasil karya Lt. Kol. Mohd Radzi Abd Hamid.Nantikan kemunculannya

SERANG HENDAP ULU LEGONG


Kebangkitan Semula Pengganas Komunis (1968-1989)


Kebangkitan Semula Pengganas Komunis (1968-1989) adalah satu usaha oleh Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan di Malaysia bagi membolehkan penubuhan sebuah kerajaan berfahaman komunis.
Selepas Darurat diisytiharkan tamat tahun 1960, gerila-gerila Komunis berundur masuk ke kawasan Selatan Thailand dan buat beberapa tahun tidak membuat serangan dan penyusupan ke Malaysia. Malahan buat seketika, pasukan keselamatan Malaysia boleh menumpukan perhatian kepada pengukuhan bilangan anggota tentera, melengkapkan pasukan dengan kelengkapan baru dan meningkatkan latihan. Konfrontasi dengan Indonesia menunjukkan Tentera Darat Malaysia belum mencapai kekuatan mencukupi untuk menentang secara pencerobohan oleh kuasa asing. Keperluan mendapatkan bantuan pasukan tentera Komanwel khususnya di Borneo meyakinkan Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara bahawa Tentera Darat Malaysia belum mencapai tahap kekuatan yang membolehkan mereka menghadapi ancaman tanpa perlu meminta bantuan pasukan luar.
Di Vietnam, kumpulan Komunis Vietnam Selatan dan Vietnam Utara sudah menunjukkan kekuatan mereka dengan melancarkan Serangan Tet. Dalam serangan itu, mereka berjaya menawan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Saigon, sebelum ditewaskan oleh pasukan-pasukan bantuan Amerika Syarikat. Kejayaan pihak Komunis di Vietnam mendorong Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara untuk melancarkan pemberontakan bagi menumpaskan kerajaan Malaysia.

Bermula Pemberontakan Kali Kedua

Dalam tahun 1968, Parti Komunis Malaya sekali lagi mencabar pasukan keselamatan Malaysia dalam konflik bersenjata. Parti Komunis Malaya sudah bersiap sedia selama 8 tahun untuk pemberontakan kali kedua berhajat untuk merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan. Kali ini, pemberontakan dilakukan serentak dengan pemberontakan yang dijalankan di Kalimantan oleh Parti Komunis Kalimantan Utara. Sekali lagi,pasukan gerup gerak khasTentera Darat Malaysia dan pasukan Polis Diraja Malaysia memikul tanggungjawab menghapuskan pemberontakan ini.
Parti Komunis Malaya melancarkan serangan-serangan ke atas unit-unit Tentera Darat daripada seberang sempadan Thailand dan Kalimantan dengan tujuan memporak-perandakan keselamatan negara. Walaupun kesan serangan tersebut tidak seberapa, kesan psikologi ke atas rakyat tempatan pasti akan mengugatkan keyakinan rakyat kepada keupayaan pasukan keselamatan menangani ancaman daripada anasir komunis.
Selain itu, Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara juga melancarkan serangan oleh skuad-skuad khas untuk menjalankan operasi pembunuhan ketua-ketua pasukan keselamatan dan pemimpin berpengaruh di kawasan-kawasan bandar. Parti Komunis Malaya berjaya membuat dua pembunuhan nekad dengan pembunuhan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Perak.

Pembesaran Tentera Darat Malaysia

Dalam tempoh ini, sistem Pemerintah Medan Tentera Darat ditingkatkan taraf dengan penubuhan Markas Kor Tentera Darat di Kem Sungai Besi. Markas Divisyen Kedua Infantri telah ditempatkan di Pulau Pinang dan Markas Divisyen Ketiga Infantri telah ditubuhkan di negeri Melaka. Markas Divisyen Pertama Infantri kekal di Kuching, Sarawak.

Semenanjung Malaysia

Tentera Darat Malaysia membuat beberapa operasi “cari dan musnah” di kawasan sempadan Malaysia - Thailand dan juga di Sarawak. Operasi “cari dan musnah” yang dilancarkan secara besar-besaran. Operasi-operasi besar dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan diperintah kawal dan diselaraskan oleh Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen). Divisyen ini bertanggungjawab ke atas keselamatan di negeri-negeri Pahang, Perak, Kelantan, Selangor dan Kedah. Operasi besar-besaran di dalam siri GONZALES dilancarkan untuk menjejak, mengesan dan seterusnya menghapuskan unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya yang hendak bertapak semula di Semenanjung Malaysia. Operasi-operasi GONZALES ini telah berjaya menghapuskan sebilangan anggota pengganas komunis di negeri Pahang dan Perak.
Tetapi unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya menggunakan taktik serang dan lari ke atas unit-unit pasukan keselamatan. Selepas membuat serangan, mereka menyusup semula masuk ke kawasan hutan di dalam sempadan Thailand, di mana mereka tahu pasukan keselamatan Malaysia tidak mempunyai kuasa mengejar (hot pursuit). Taktik ini membantutkan kejayaan operasi siri Gonzales.
Untuk menangani kekangan ini, Kerajaan Malaysia merundingkan dengan Kerajaan Thailand untuk membolehkan pasukan keselamatan Malaysia mengejar unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya walaupun mereka kembali memasuki wilayah Thailand. Hasil perundingan diadakan, Kerajaan Thailand akhirnya bersetuju membenarkan pasukan Tentera Darat Malaysia untuk membuat kejaran “hot pursuit” pengganas komunis masuk ke dalam wilayah Thailand sehingga satu kawasan tidak melebihi bandar Sadao, Thailand.

Operasi Daoyai Musnah

Dalam tahun 1976 Operasi Daoyai Musnah dilancarkan oleh Tentera Darat Malaysia untuk menghapuskan ancaman pengganas komunis di kawasan operasi 2 Divisyen Infantri. Operasi Daoyai Musnah berbeza kerana pasukan Tentera Malaysia membuat operasi cari dan musnah di dalam kawasan operasi di wilayah Malaysia sehinggalah ke kawasan operasi di wilayah Thailand. Satu markas hadapan ditubuhkan di Sadao untuk tujuan perintah dan kawalan operasi.
Pasukan Tentera Darat Malaysia ditempatkan di wilayah Thailand untuk bertindak sebagai pasukan menghalang (blocking force). Kumpulan pengganas komunis mendapat kejutan kerana pasukan Tentera Malaysia tidak menghentikan operasi apabila kumpulan pengganas masuk ke wilayah Thailand. Sebaliknya, mereka terus diburu. Kumpulan pengganas terus berundur sehingga bertembung dengan kumpulan Tentera Malaysia yang menjadi pasukan menghalang.
Walaupun pasukan Royal Thai Army bekerjasama dengan pasukan Tentera Malaysia, mereka agak keberatan untuk berdepan dengan kumpulan pengganas. Akhirnya operasi cari dan musnah dijalankan kebanyakannya oleh Tentera Malaysia.

Sarawak

Di Sarawak, ancaman Parti Komunis Kalimantan Utara ditangani oleh Markas Divisyen Pertama Infantri. Operasi-operasi besar sepertimana yang dijalankan oleh 2 Divisyen di Semenanjung Malaysia juga dilancarkan di kawasan operasi Sarawak.
Ancaman paling nyata dirasai di dalam kawan operasi Sungai Rejang. Keadaan keselamatan di Rejang mendorong Markas 1 Divisyen menubuhkan Markas Khas dipanggil Markas Keselamatan Kawasan Rejang (Rejang Area Security Command) ataupun RASCOM. 1 Divisyen membuat serangan balas dengan meningkatkan skop operasi cari dan musnah menentang Parti Komunis Kalimantan Utara.

Serang hendap Di Lundu


Parti Komunis Kalimantan Utara mencapai beberapa kejayaan. Parti Komunis Kalimantan Utara berjaya membunuh 15 orang anggota Bn 7 Rejimen Renjer dalam satu serang hendap di Lundu pada 26 Mac 1972.
Serangan ini dibuat oleh segerombolan 30 hingga 40 orang pengganas ke atas konvoi terdiri dari 1 buah Land Rover dan 3 buah lori 3 ton mengandungi askar jurutera yang dipinjamkan ke Bn 7 Rejimen Renjer dan askar-askar dari kompeni bantuan. Land Rover dan lori Bedford membawa askar jurutera tidak diserang dan dibiarkan melepasi kawasan serang hendap. Apabila lori ketiga masuk ke dalam kawasan pembunuhan, kumpulan pengganas melepaskan tembakan.
Askar Jurutera yang terlepas dari serang hendap tidak berhenti untuk melawan kerana bilangan mereka kecil (1 Seksyen). Mereka memecut ke Titi Akar dan meminta bantuan daripada pasukan dari 1 Rejimen Askar Peninjau. Koperal Jamaluddin tanpa berlengah memecut kereta perisai Ferret ke tempat serang hendap dengan diikuti lain-lain askar bantuan. Apabila sampai ke kawasan serang hendap, Koperal Jamaluddin melepaskan tembakan mesingannya. Melihat ketibaan kereta perisai Ferret itu, kumpulan pengganas berundur.
Bn 7 Rejimen Renjer bertindak balas dengan melancarkan operasi cari dan musnah secara besar-besaran. Dalam operasi-operasi susulan, ramai daripada pengganas terlibat dibunuh dan senjata dirampas.

Kesan Operasi Ketenteraan

Akibat tekanan ketenteraan yang semakin meningkat, unit-unit penggempur komunis tidak dapat bertapak dengan berkesan di Semenanjung Malaysia ataupun di Sarawak. Akhirnya, ramai daripada mereka mengambil tindakan untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Tamat Pemberontakan

Dengan lumpuhnya kekuatan ketenteraan mereka, PKM telah menyerah diri dan menamatkan perjuangan mereka pada tahun 1989. Perjanjian damai dikenali dengan nama Perjanjian Haadyai ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya. Dengan perjanjian ini, bererti berakhirnya perjuangan Parti Komunis Malaya.
Langkah ini disusuli pula oleh PKKU pada 17 Oktober 1990.

Sumber: