“Suatu Ketika,Sejarah Dahulu Kala…”

Followers

Thursday, April 21, 2011

NATRAH


Nadra Maarof atau nama belanda Bertha Hertogh (1937-2009) adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.

Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya Adeline Hunter. Kakaknya Wiesje, Corrie. Adiknya Benny dan Karel.

Beliau meninggal dunia pada 9 Julai 2009 pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda.


Susur galur

  • 1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
  • Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
  • Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
  • 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
  • 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
  • September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
  • 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
  • 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
  • 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
  • 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
  • 28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
  • 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
  • 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
  • 1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.
  • 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
  • Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
  • 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
  • 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
  • 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
  • Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
  • 15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
  • Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
  • Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
  • 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
  • 10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
  • 17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
  • Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.
  • 25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
  • 20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
  • 1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
  • 26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
  • 20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
  • 15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
  • 20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
  • 3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
  • 25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
  • 16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
  • 26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
  • 1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
  • Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
  • 1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans
  • 1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
  • 15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
  • Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
  • Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
  • 9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.

Rusuhan Kaum 1964


Rusuhan Kaum 1964 berlaku di Singapura. Ketika itu, perayaan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad telah diadakan di seluruh Malaysia. Di kebanyakan bandar, ia disambut secara besar-besaran. Pelbagai unit tentera, polis, bomba dan bekas kakitangan kerajaan, contohnya, turut serta di dalam perayaan itu di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Di Singapura, 212 organisasi Islam menyertai perhimpunan tersebut. Sehingga pukul 1 petang pada 21 Julai 1964, seramai 25 ribu umat Islam berkumpul di Padang. Pada pukul 2 petang, Yang di-Pertuan Negara, ketua kerajaan negeri, memberikan ucapan rasmi. Umat Islam digesa supaya mematuhi ajaran Islam dan 'bersabar, tabah dan rajin berusaha'. Pada jam 3.30 petang, orang ramai sepatutnya berarak dari Padang ke St. Andrews Road, Beach Road, Arab Street, Victoria Street, Kallang Road, dan akhirnya ke Lorong 12, Geylang.

Ketika perarakan itu, di kawasan Kallang, seseorang telah membaling botol ke arah perarakan. Suasana bertukar menjadi tegang. Apabila seorang polis FRU meminta mereka yang berarak supaya menggunakan laluan berdekatan dengan kawasan kerja petrol Kallang sekitar pukul 5 petang, ia telah diserang. Dalam sekelip mata suasana menjadi kacau-bilau. Pada pukul 6.00 petang, perbuatan jenayah membakar bangunan-bangunan berlaku di kawasan Geylang di antara Kallang dan Geylang Serai, dan kereta-kereta diterbalikkan. Pada jam 6.30 petang, pertelingkahan dilaporkan berlaku di Chinatown dan Tanjung Pagar. Pada pukul 6.45 petang, beberapa pertentangan lagi dilaporkan berlaku di Arab Street dan persimpangan North Bridge Road. Seramai 50 orang cedera, dan kebanyakannya dengan kecederaan di kepala, dirawat di Hospital Besar Singapura pada 8.30 malam. Keadaan kacau-bilau berlaku dengan begitu dahsyat sehingga banyak panggung wayang yang mengumumkan pembatalan tayangan filem sesi 9.30 malam. Pada hari pertama rusuhan itu, 4 orang terbunuh dan 178 lagi mengalami kecederaan.

Kekacauan itu turut merebak ke kawasan-kawasan lain di Singapura pada beberapa hari berikutnya. 2 lelaki diserang di kawasan Upper Serangoon jam 9.15 malam pada 22 Julai. Keluarga-keluarga Melayu yang tinggal di Queenstown meninggalkan rumah mereka kerana bimbang dengan keselamatan mereka. Perintah berkurung dari waktu senja sehingga ke waktu subuh dikenakan untuk seluruh pulau itu bagi mengawal kacau-bilau pada 23 Julai, dan hanya ditarik semula sepenuhnya pada 2 Ogos, selepas 11 hari. Seramai 45 orang yang melanggar perintah berkurung tersebut telah dipenjarakan. Dengan keadaan yang tidak stabil itu, harga-harga makanan dan bekalan keperluan naik dengan mendadak di dalam tempoh tersebut. Semua kerja terpaksa diberhentikan untuk selama 3 hari. Yang lebih penting lagi, ketakutan telah merebak. Secara keseluruhannya, 23 orang telah terbunuh dan 460 orang lagi cedera.

Isi kandungan

Sebab-sebab berlakunya rusuhan kaum

Sentimen perkauman di Singapura dibangkitkan melalui berbagai cara. Pada 12 Julai 1964, UMNO telah mengadakan persidangan yang disertai oleh lebih kurang 150 organisasi Melayu di Singapura. Persidangan itu dipengerusikan oleh Syed Jaafar Albar, Setiausaha Agong UMNO di Semenanjung Malaysia. Beliau telah membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu di Singapura tidak mendapat layanan yang adil dari kerajaan PAP memandangkan mereka dilihat tidak berkembang maju dari segi material. Beliau telah menggesa orang-orang Melayu supaya bersatu bagi menghadapi layanan yang tidak adil ini. Utusan Melayu, akhbar Melayu di Malaysia, yang dimiliki oleh ahli-ahli UMNO yang terkemuka, juga sering menyuarakan pendirian yang sama di dalam penerbitan mereka, dan ia telah menuduh PAP sebagai menghina dan cuba untuk memecah belahkan masyarakat Melayu di Singapura.

Tidak mudah bagi Tunku Abdul Rahman untuk mengawal pertambahan elemen-elemen perkauman di dalam UMNO kerana beliau akan dilihat sebagai tidak menjaga kepentingan orang-orang Melayu. Sebelum itu setiap hari terdapat tuduhan-tuduhan dari Indonesia yang mengatakan bahawa beliau telah menjual bangsa Melayu kepada saudagar-saudagar Cina dan India di Malaysia. Selepas rusuhan kaum, Tunku memberi pendapat bahawa ianya disebabkan oleh pengabaian yang terlalu lama orang-orang Melayu Singapura, dengan merujuk perkara berikut sebagai contoh : '(orang-orang melayu) telah dipaksa keluar dari rumah-rumah milik mereka untuk memberi jalan kepada pembangunan rumah-rumah pangsa baru dan lain-lain.'

MCA, parti komponen pemerintah di Malaysia turut menyumbang ke arah kebangkitan suasana perkauman. Menterinya di dalam kerajaan, Khaw KAI Boh, yang merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan perumahan, sebagai contohnya, mendakwa bahawa kemajuan Singapura adalah dikhaskan untuk orang-orang Cina, dan beliau bercakap tentang Cauvinis Cina di Singapura. Pendirian PAP adalah orang-orang Melayu perlu meningkatkan tahap pendidikan mereka bagi membaiki kedudukan ekonomi mereka. Tiada layanan istimewa, selain dari yang diperuntukkan di dalam perlembagaan Singapura, yang dibayangkan.

Terdapat alasan-alasan yang lebih berasas tentang mengapa ahli-ahli terkemuka UMNO dan MCA kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk membangkitkan ketegangan sosial dan kaum di Singapura, dan oleh itu melemahkan peraturan PAP dan mengurangkan ancamam politiknya. Elemen-elemen tertentu UMNO adalah bantahan terhadap pergabungan Singapura Dengan Malaya menadangkan Singapura mempunyai bilangan penduduk berbangsa Cina yang lebih besar. Nasionalis-nasionalis Melayu di dalam UMNO juga tidak senang dengan profail tinggi yang diambil oleh Lee Kuan Yew, seorang ahli politik Cina, semasa perundingan untuk pergabungan dan di dalam tempoh sebaik sahaja selepas pergabungan. Sebagai contoh, pemimpin Singapura itu mengumumkan tentang kesukaran yang dihadapinya semasa perundingan untuk pergabungan; dan di dalam satu program analisa berita TV BBC, 'Panorama', mengenai perjalanan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pembentukan Malaysia, hanya Lee Kuan Yew yang dijemput dan pandangan-pandangannya disiarkan. Pada bulan Jun 1964, Lee Kuan Yew mengetuai sekumpulan 12 orang ahli di dalam satu misi kunjungan ke 17 negara-negara Afrika dan India untuk menangkis propaganda Indonesia yang ditujukan kepada Malaysia, satu tindakan yang telah mendapat bantahan dari nasionalis Melayu seperti Syed Jaafar Albar. Kebimbangan UMNO semakin bertambah apabila parti bersekutunya di Singapura gagal memenangi sebarang kerusi di dalam pilihanraya yang diadakan pada 21 September 1963 di Singapura, walaupun di dalam kawasan yang mempunyai majoriti Melayu. Kesan dari kejayaan PAP sangat ketara buat UMNO. Dengan marahnya, Tunku mengecap orang-orang Melayu di Singapura sebagai 'pengkhianat'. Calon PAP yang diberikan undi oleh orang-orang Melayu di Singapura juga berbangsa Melayu? maka ia tidaklah boleh dikatakan 'pengkhianat' bangsa seperti yang digambarkan oleh Tunku.

Ahli-ahli terkemuka UMNO juga tidak senang dengan sikap Singapura yang tidak patuh kepada kerajaan persekutuan. Sekali pun Tunku mengeluarkan kenyataan umum menyatakan sokongan kepada kepada MCA, PAP tetap bertanding melawan MCA di dalam pilihanraya persekutuan pada bulan April 1964. Lebih dari itu, PAP menunjukkan bahawa percubaan untuk muncul sebagai satu kuasa politik yang lebih besar di Malaysia, boleh membawa 'angin perubahan' di Malaysia, di mana UMNO akan terpaksa menerima ideologi politik dan cara pendekatan PAP yang tersendiri dan lebih berprinsip saksama. Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Menyuarakan kesangsiannya dengan keikhlasan PAP terhadap kepentingan dan kebajikan orang-orang Melayu. Penyertaan PAP di dalam pilihanraya persekutuan telah dilihat sebagai satu percubaan untuk melemahkan kedudukan dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu di Malaysia, walaupun PAP tidak bertanding melawan UMNO secara langsung.

Cauvinis-cauvinis Melayu di dalam UMNO menggambarkan PAP sebagai parti anti-Melayu dan bersandarkan pada konteks inilah maka kempen kebencian terhadap kerajaan anti-Melayu PAP yang dijalankan oleh Syed Jaafar Albar itu dapat difahami. Perasaan orang-orang Melayu Singapura terhadap orang-orang Cina telah terbakar. Lee Kuan Yew begitu pasti bahawa pelampau-pelampau UMNOlah yang patut dipersalahkan di dalam kejadian rusuhan kaum itu.

Kesangsian MCA terhadap Singapura yang diterajui oleh PAP itu adalah bertujuan poltik. Mereka sebenarnya bimbang kehilangan sokongan dari penyokong-penyokong Cina di Malaysia kepada Lee Kuan Yew. Pemimpin-pemimpin utama MCA cuba menyimpangkan perundingan sebelum pergabungan terjadi. MCA juga cuba untuk mengurangkan pengaruh politik PAP dengan menguatkan kembali cawangannya di Singapura, dan terlibat secara langsung di dalam politik Singapura. PAP pula, enggan untuk menerima bahawa MCA memperjuangkan kepentingan semua orang Cina di Malaysia. MCA dilihat sebagai sebuah 'kelab orang-orang kaya' yang kegagalannya untuk memperjuangkan kepentingan orang-orang Cina yang kurang berkemampuan, terutamanya yang tinggal di kawasan-kawasan bandar, boleh membawa kepada bertambahnya pengaruh parti-parti politik pro-komunis. Dari itu MCA amat bimbang dengan PAP yang mungkin memohon untuk menggantikan tempatnya di dalam Perikatan yang memerintah Malaysia sekiranya kekuatan politik PAP semakin meningkat, biarpun kenyataan-kenyataan umum Tunku Abdul Rahman bahawa beliau akan tetap mempertahankan MCA, rakan kongsi setianya.

Hubungan di antara MCA dan PAP dihina oleh kenyataan-kenyataan balas yang dikeluarkan secara berterusan, berkenaan hal-hal politik dan peribadi. Kenyataan-kenyataan tersebut bertambah hangat semasa kempen pilihanraya pada bulan April 1964 di Semenanjung Malaysia, apabila PAP tidak berjaya di kawasan-kawasan Bandar, semata-mata untuk menunjukkan bahawa PAP hanya berguna kepada UMNO dari segi pilihanraya dari MCA. Ketegangan semakin meningkat apabila Tan Siew Sin, Menteri Kewangan Pusat, enggan melaksanakan pasaran saham yang sama di Malaysia sebagaimana yang telah dipersetujui semasa perundingan sebelum pergabungan, kecuali Singapura membayar 60%, bukannya 40%, dari pendapatan negaranya kepada Kuala Lumpur. Adalah dipercayai bahawa MCA tidak mahu menambahkan kelebihan ekonomi Singapura dengan mengorbankan ahli-ahli MCA yang terlibat dengan perniagaan.

Agen-agen Indonesia mungkin juga terlibat di dalam menimbulkan kacau-bilau itu. Itu adalah tempoh masa konfrontasi. Indonesia di bawah arahan Presiden Sukarno, menghalang pembentukan Malaysia kerana ia berminat untuk menakluki Sarawak dan Sabah di dalam Malaysia Timur. Kerajaan Indonesia juga menghadapi pelbagai masalah seperti ancaman ekonomi, rasuah, pentadbiran yang salah dan aktiviti-aktiviti yang merosakkan oleh komunis. Percubaan untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan di Malaysia akan dapat mengalih perhatian rakyat Indonesia dari masalah-masalah tersebut. Dari bulan September 1964 sehingga bulan Mei 1965, terdapat sebanyak 42 kejadian letupan bom oleh pengkhianat-pengkhianat yang menerima arahan dari Indonesia. Selepas rusuhan kaum pada 21 Julai 1964, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia, mengutuk Indonesia sebagai dalang di sebalik kejadian rusuhan itu. Walau bagaimanapun, pengkhianat-pengkhianat Indonesia itu tidak akan berjaya, sekiranya ketegangan kaum belum lagi tercetus sebelum itu.

Masalah-masalah perkauman yang lain di dalam sejarah Singapura

Kejadian rusuhan kaum pada 21 Julai bukanlah satu-satunya insiden yang pernah berlaku. Terdapat tiga kejadian penting yang telah berlaku. Kejadian pertama berlaku di antara 21 Ogos 1945 dan 11 September 1945, di dalam tempoh sementara di antara waktu Jepun Menyerah Kalah dan kembalinya kuasa British. Kejadian kedua adalah rusuhan Maria-Hertogh dari 11 hingga 13 Disember 1950, di mana sensitiviti orang-orang Melayu Islam telah dibangkitkan berikutan keputusan mahkamah penjajah (kolonial) yang membenarkan seorang budak perempuan berbangsa Belanda yang dibesarkan sebagai seorang Islam dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya yang beragama Kristian. Rusuhan yang tercetus itu disemarakkan lagi oleh gambar-gambar dan artikel-artikel yang tersiar di akhbar-akhbar sehingga menyebabkan 18 orang terbunuh dan 173 lagi cedera. Insiden ketiga berlaku pada 3 September 1964. Rusuhan itu telah dibangkitkan oleh agen-agen Indonesia yang mahu menjejaskan kestabilan di Singapura. Walaupun pertelingkahan itu berlaku sekali-sekala, apabila perintah berkurung ditarik balik pada 9 September 1964, seramai 13 orang telah terbunuh semasa merusuh dan 102 lagi cedera. Seramai 240 'pendesak politik' yang dianggap bertanggungjawab terhadap gangguan itu telah ditangkap.

Ketika Rusuhan Kaum 1964

  1. Laluan tambak Johor telah ditutup dari 22 sehingga 26 Julai 1964 apabila perintah berkurung dikenakan ke atas Singapura? Akibatnya, ramai rakyat Singapura yang bekerja di Johor Bahru tidak dapat pulang ke rumah masing-masing. Semua hotel dan motel di Johor Bahru penuh diduduki oleh rakyat Singapura pada masa itu.
  2. Berlaku kesesakan jalanraya yang paling besar pada pagi 22 Julai 1964 iaitu jam 10.00 pagi, kerajaan telah mengumumkan bahawa perintah berkurung akan dikenakan semula pada pukul 11.30 pagi, selepas ditarik balik sebelum itu pada pukul 6.00 pagi. Perintah berkurung telah dikenakan semula apabila terdapat lebih kekacauan pada pagi 22 Julai. Ramai yang terpaksa pulang ke rumah dari tempat kerja dengan tergesa-gesa dan jalan-jalanraya masih sesak sehingga pukul 12.00 tengah hari.
  3. Terdapat banyak khabar-khabar angin yang disebarkan semasa keadaan kacau-bilau itu? Khabar angin yang paling meluas adalah mengenai saluran paip air yang membawa air dari Johor telah pecah. Banyak keluarga yang membawa keluar semua alat-alat penakung air mereka untuk dipenuhkan dengan air. Suasana cemas itu hanya berkurangan apabila PUB mengeluarkan satu kenyataan menafikan bahawa terdapat kerosakan pada paip air dari Johor itu. Sesiapa yang didapati bersalah menyebarkan khabar-khabar angin itu akan dipenjarakan selama 3 tahun.
  4. Rakyat diminta agar mengurangkan pengunaan telefon mereka? Disebabkan perintah berkurung, telekom menghadapi kekurangan kakitangan dan hanya terdapat sedikit pekerja sahaja untuk membantu menyambungkan talian.
  5. Apabila perintah berkurung dikenakan, mereka yang masih tidak mendapat sebarang pengankutan untuk pulang ke rumah, akan segera ke balai-balai polis yang berdekatan? Di balai-balai polis ini, mereka yang terkandas akan meminta bantuan polis untuk menghantar mereka pulang. Kadangkala, pihak polis melayani permintaan mereka itu.
  6. Harga barang-barang makanan dipasaran meningkat kepada dua hingga tiga kali ganda. Pembekal-pembekal di pasar tidak akan tawar-menawar dengan pelanggan-pelanggan. Ini kerana bagi setiap satu pelanggan yang keberatan, terdapat sekurang-kurangnya 10 pelanggan yang bersedia untuk membeli barang-barang segar itu. Satu Jawatankuasa telah dibentuk di banyak kawasan di Singapura yang menggesa agar para pembekal dan peniaga-peniaga kedai tidak mengambil keuntungan yang berlebihan. Jawatankuasa seperti itu dibentuk untuk menenangkan ketegangan kaum dan peniaga-peniaga kedai Cina juga dinasihatkan agar tidak menolak pelanggan-pelanggan Melayu.
  7. Banyak majlis-majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan apabila perintah berkurung dikenakan. Ramai yang mendapat tahu tentang penangguhan-penangguhan tersebut yang dibuat melalui akhbar-akhbar tempatan.
  8. Kereta-kereta mayat bergerak lebih cepat dari biasa? Ramai keluiarga yang berkabung terpaksa meyelesaikan hal-hal pengkebumian orang yang mereka sayangi sebelum perintah berkurung dikenakan semula. Sesiapa yang didapati melanggar peraturan ini akan didakwa dan dipenjarakan.
  9. Penjualan akhbar-akhbar meningkat beberapa kali ganda? Terkandas di rumah, ramai yang membeli surat-surat khabar untuk mengetahui tentang perkembangan di Singapura. Mereka juga perlu tahu tentang waktu-waktu perintah berkurung.
  10. Pemandu-pemandu teksi mengenakan tambang yang tinggi kepada pengguna-pengguna yang bergegas untuk pulang ke rumah sebelum tempoh perintah berkurung bermula.
  11. Panggung-panggung wayang ditutup selama 1 minggu? Apabila dibuka semula pada 27 Julai, ia hanya mempunyai satu atau dua waktu tayangan dan tayangan tersebut perlu memberi masa yang secukupnya bagi penduduk-penduduk untuk sampai ke rumah mereka sebelum tempoh perintah berkurung bermula.
  12. Agak menghairankan, pada salah satu jalan yang terpanjang di Singapura, Jalan Bukit Timah, tiada kejadian ganas yang berlaku.
  13. Kebanyakan kampung-kampung, penduduk Cina dan melayu melindungi satu sama lain dari unsur-unsur kekacauan yang datang dari luar kampung mereka.
  14. Kejadian pecah kereta, menyamun penunggang-penunggang motorsikal dan pejalan-pejalan kaki yang berseorangan dan perbuatan ganas menggunakan kayu, parang dan kerusi, adalah jenis-jenis kekacauan yang sering berlaku
Sumber:

Sejarah Terengganu

Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang.

"Negarakartagama", tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah, terdapat manusia tinggal di situ sejak 4000 SM. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.

Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama, dihantar memerintah Terengganu. Seterusnya, Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.

Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis, karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Johor. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang(Raja Perempuan Mas Cayam), Raja Pattani.

Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).

Istana Maziah.

Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya, baginda berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (17461760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.

Sultan Mansur I digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II (1794–1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh beberapa sultan, termasuknya Baginda Omar.

Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.

Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (18761881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan "Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (19181920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920–1942).

Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu ke-16 yang memerintah negeri Terengganu sekarang.

Menurut "Warta Chahaya Timor No. 38" bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulung baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut "Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu" 1911.

Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran "Sultan Ismail Nasaruddin Shah". Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke–6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu, Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Sultan Mizan Zainal Abidin.

[sunting] Kesultanan Terengganu

  • 1708-1733: Tun Zainal Abidin
  • 1733-1794: Sultan Mansur I
  • 1794–1808: Sultan Zainal Abidin II
  • 1808–1830: Sultan Ahmad
  • 1830: Sultan Abdul Rahman
  • 1830–1831: Sultan Daud
  • 1831–1837: Sultan Mansur II
  • 1837–1839: Sultan Muhammad
  • 1839–1876: Baginda Omar
  • 1876–1881: Sultan Ahmad Shah II
  • 1881–1918: Sultan Zainal Abidin III, putera Sultan Ahmad Shah II ;
  • 1918–1920: Sultan Muhammad Shah II
  • 1920–1942: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  • 1942-1945: Sultan Ali
  • 1945-1979: Sultan Ismail Nasaruddin Shah
  • 1979-1998: Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
  • 1998-kini: Sultan Mizan Zainal Abidin
Sumber:

Rundingan Baling


kelihatan chin Peng dan Rashid Maidin menaiki trak Polis meninggalkan tempat rundingan
Rundingan Damai Baling merupakan perundingan di antara Kerajaan Persekutuan

Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Rundingan ini diadakan di Baling English School (sekarang Sekolah Kebangsaan Tunku Putra) di Baling, Kedah Darul Aman, Malaysia pada 28 dan 29 Disember 1955.

Rombongan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, David Marshall dan Hamid Jumat sementara rombongan PKM terdiri daripada Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.

Kerajaan Parti Perikatan berjaya dalam pilihan raya di Tanah Melayu pada bulan Julai 1955. Pada bulan September 1955, kerajaan menabur 40 juta risalah "Tawaran Menyerah Diri" serta 12,000 pas pengampunan beramai-ramai ke dalam hutan melalui kapal terbang. Tawarannya berbunyi: "Kalau kamu menyerah diri, keluar dari hutan, kamu tidak akan dihukum kerana kesalahan yang kamu lakukan berhubung darurat."

Pada September 1955, sepucuk surat dihantar oleh Parti Komunis Malaya dan ditandatangani oleh Ng Heng dari Kampung Kelian Intan, Keroh di Perak. Surat itu menyatakan tawaran rundingan kepada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman. Ng Heng sebenarnya ialah nama samaran Chin Peng.

Pertemuan awal dibuat di antara kerajaan yang diwakili Timbalan Menteri Pelajaran Too Joon Hing dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Tanah Melayu Ian C Wylie, manakala PKM oleh Chen Tien. Tiga rundingan awal berlangsung di Kampung Kelian Indan sehingga bulan November 1955.

Proses rundingan di antara Kerajaan Perikatan dengan PKM kemudian berlangsung selama dua hari pada 28 & 29 Disember di Baling, Kedah. Chin Peng berjanji meletakkan senjata jika PKM diiktiraf dan kebebasan mereka tidak disekat. Tunku bagaimanapun menegaskan PKM harus menyerah kalah.

Tawaran Chin Peng juga tidak dihiraukan oleh Kerajaan Perikatan kerana PKM sudah lemah. Lagipun kerajaan dengan bantuan tentera negara-negara kOMANWEL hampir melumpuhkan pemberontakan bersenjata komunis di dalam hutan. Rundingan dengan komunis yang mahu PKM diiktiraf sebagai sebuah parti bebas tentulah tidak wajar.

Tiada kata sepakat dicapai selepas rundingan kerana PKM enggan menerima pelan damai kerajaan dan meneruskan gerakan bersenjata. Tunku telah menarik balik tawaran pengampunan pada bulan Febrruari 1956.

Proses rundingan di Baling itu boleh dianggap sebagai antara usaha terakhir Kerajaan Perikatan menyakinkan pihak British bahawa rakyat tempatan layak memerintah dan bersedia untuk menuntut kemerdekaan. Selepas beberapa hari pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku terus berangkat ke London untuk meneruskan rundingan kemerdekaan dengan British.

Setiausaha Antarabangsa DAP dan Ketua Bureau NGO, Ronnie Liu Tian Khiew dalam laman web DAP pada 5 Ogos 2005, mendakwa bahawa Chin Peng adalah salah satu faktor memaksa pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaysia. Tetapi ada pihak yang berpendapat bahawa cadangan Liu itu adalah kurang tepat kerana Parti Komunis Malaya sudahpun lemah dan terpaksa memohon perundingan dilakukan pada 1955. Malah, pihak kerajaan yang mengetahui kelemahan Parti Komunis Malaya menolak permintaan langsung Parti Komunis Malaya agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik.

Selain itu, sekiranya Parti Komunis Malaya memberi tekanan kepada pihak British, sudah pasti pihak British tidak akan melepaskan Tanah Melayu untuk merdeka kerana sekiranya Tanah Melayu jatuh ketangan komunis, ini akan menjejaskan bekalan bahan mentah yang amat diperlukan British bagi membangunkan semula industri mereka selepas Perang Dunia II

Sumber:

http://ms.wikipedia.org/



Kawat Maut Sandakan


Kawat Maut Sandakan adalah kejadian paling buruk diketahui dalam siri kejadian yang mengakibatkan kematian sehingga 6,000 orang awam hamba kerahan Indonesia dan tahanan perang pihak Berikat, yang ditahan oleh Empayar Jepun semasa Perang Pasifik semasa Perang Dunia II, di kem penjara di Borneo Utara. Dari keseluruhan tahanan yang ditawan di kem tersebut semasa perbarisan, hanya 6 yang diketahui terselamat selepas perperanga Pada 1942, orang awam Indonesia, diimport dari

pulau Jawa, bersama tahanan perang Australia dan British, yang telah ditahan semasa kejatuhan Singapura, dihantar melalui kapal ke Borneo Utara, untuk membina padang terbang di Sandakan. Seperti pada landasan kereta api Burma, tahanan dipaksa bekerja keras dengan diacukan senapang kepada mereka, sering dipukul dan tidak menerima makanan serta ubatan yang cukup. Mereka terus ditahan walaupun kerja pembinaan telah siap. Ramai yang mati. Pada awal 1945, apabila Pihak Berikat makin hampir, komandan kem Kapten Susumi Hoshijima memutuskan untuk memindahkan baki tahanan ke pedalaman di Ranau, kira-kira 250 kilometer (160 batu).

Tahanan Australia dan Indonesia ini telah dikerah oleh tentera Jepun untuk berjalan dari Sandakan di pantai timur ke Kota Kinabalu di pantai barat. Dalam perjalanan tersebut, lebih 1000 orang telah maut akibat keletihan, kebuluran dan penyakit. Sebagai memperingati peristiwa ini, kerajaan Australia telah mendirikan Tugu Peringatan perang bertempat di Kundasang Ranau.

Sumber:

http://ms.wikipedia.org/

Friday, April 15, 2011

Pembunuhan Beramai-ramai Parit Sulong

seorang tentera Jepun sedang menghunus bayonet terhadap tawanan
perang

Jambatan Perit Sulong pada 1963, di mana tentera Australia berjuang pada peringkat akhir pertempuran Muarmenentang pasukan Jepun yang lebih besar. Plak peringatan korban tentera Berikat diletakkan pada tahun yang sama. Jambatan ini dimusnahkan pada tahun 1994 dan digantikan dengan jambatan yang baru pada tahun 1997.


Pembunuhan beramai-ramai Parit Sulong berlaku pada 23 Januari 1942 yang dilakukan oleh anggota Division Pengawal Imperial (Imperial Guards Division) dari Tentera Imperial Jepun terhadap tentera berikat semasa penaklukan Tanah Melayu ketika Perang Dunia II. Beberapa hari sebelumnya, tentera Berikat telah menyerang hendap tentera Jepun berhampiran Gemas dan meletupkan jambatan di situ dalam pertempuran Jambatan Gemencheh.

Semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu, anggota pasukan Division ke 8 Australia (Australian 8th Division) dan Brigade Infantri ke-45 India (Indian 45th Infantry Brigade) sedang berundur sambil berjuang apabila mereka dikepong berhampiran dengan jambatan di Parit Sulong. Pasukan Berikat bertempur dengan pasukan Jepun yang lebih besar selama dua hari sehingga mereka kekurangan bekalan peluru dan makanan.

Setelah gagal berunding di bawah bendera putih untuk membenarkan mereka yang tercedera untul lalu, pemerintah pasukan memutuskan bahawa pihak Jepun akan mematuhi Perjanjian Geneva (Geneva Convention ) mengenai tawanan perang dan memerintahkan kesemua mereka yang sihat dan mampu diperintahkan untuk berpecah ke dalam hutan, satu-satunya jalan bagi mereka kembali menyertai barisan pihak Berikat; tetapi bagi sekitar 110 tentera Australia dan 40 tentera India yang cedera terlalu teruk untuk melarikan diri, pilihan mereka yang ada hanyalah untuk menyerah diri.

Tahanan perang yang cedera itu ditendang dan dihentak dengan buntut senapang oleh Pengawal Imperial. Mereka yang tercedera ditahan dalam bangunan kayu. Mereka kemudian dikumpulkan dan diperiksa oleh Chief of Staff Lt. Gen. Nishimura Takuma, General Officer Commanding, Division Pengawal Imperial yang memberikan arahan untuk "menghapuskan" tahanan yang tercedera.

Dalam perbicaraannya, Nishimura mendakwa bahawa ini bererti "memindahkan mereka yang tercedera kebelakang" - tetapi Chief of Staff, Kolonel Imai Kamerjiro - yang tidak terselamat dalam perperangan - menambah; "Mayat tahanan hendaklah dibakar selepas selesai pembunuhan itu". Teks penuh arahan tersebut diberikan kepada Lt. Fujita yang ditugaskan bagi menghapuskan tahanan.

Pada petang 22 Januari 1942, mereka diperintahkan untuk berkumpul di belakang baris kedai yang rosak berdekatan. Mereka yang tercedera dipapah oleh mereka yang mampu berjalan, setelah dijanjikan rawatan perubatan dan makanan. Sementara menunggu ditempat perkumpulan, samaada duduk atau terbaring lemah, tiga mesingan, tersorok di bilik belakang mulai menembak, mengsasarkan tahanan tersebut. Sejumlah tahanan yang masih hidup di tikam dengan bayonet. Selepas itu baris rumah kedai tersebut dirobohkan dan mayat tahan diletakkan di atasnya. Enam puluh galon minyak dituang diatas timbunan itu dan api dihidupkan. Menjelang tengah malam, timbunan kayu dan mayat membentuk abu setinggi dua kaki sebelum diisikan kedalam lubang bom dijalan berhampiran.

Terdapat keterangan saksi lain yang menyatakan kisah berlainan, anataranya: Sesetengah dari mereka diikat dengan kawat di tengah jalan sebelum ditembak dengan mesingan dan dicurah dengan petrol dan dibakar dan (dalam kata-kata Russell Braddon) selepas "dibakar hangus— sebelum digelek kehadapan dan kebelakang (secara teratur) dengan lori yang dipandu oleh tentera Jepun." (Braddon, p. 101) Kebanyakan mayat tersebut dijadikan pengisi lubang bom dijalan. Kenyataan penduduk tempatan turut melaporkan bahawa tahanan perang (POWs) diikat beramai-ramai dengan kawat dan dipaksa berdiri di atas jambatan, sebelum seorang tentera Jepun menembak seorang, menyebabkan yang lain jatuh kedalam sungai Simpang Kiri dan lemas.

Tiga orang tentera Australia terselamat dan dua daripadanya masih hidup sehingga tamat perang. Dua tentera Australia yang tercedera dan sempat melarikan diri dari pembunuhan beramai-ramai itu dan menjadi saksi mengenai layanan Jepun terhadap tahanan perang. Rekod rasmi menunjukkan seramai 150 orang yang tercedera dibunuh.

Leftenan Jeneral Takuma Nishimura kemudiannya disabitkan terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong oleh Mahkamah Tentera Australia (Australian Military Court) dan digantung hingga mati pada 11 Jun 1951. Dia telah disabitkan oleh mahkamah British bagi penjara seumur hidup bagi Pembunuhan beramai-ramai Sook Ching.

Sumber: